Sunday 4 October 2015

Prosiding: ASPEK KEPRIHATINAN IBU BAPA TERHADAP TUISYEN ANAK-ANAK DI DAERAH HULU LANGAT SELANGOR

SEMINAR ANTARABANGSA ISU-ISU PENDIDIKAN 2015 (IsPen 2015)


ASPEK KEPRIHATINAN IBU BAPA TERHADAP TUISYEN ANAK-ANAK DI DAERAH HULU LANGAT SELANGOR


Mashithah Khalid
Nor Aisah Buang
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK

Kajian ini adalah untuk melihat aspek keprihatinan ibu bapa terhadap tuisyen kepada anak-anak di daerah Hulu Langat. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap keprihatinan ibu bapa terhadap tuisyen, perbezaan keprihatinan ibu bapa terhadap tuisyen berdasarkan lokasi, jantina dan tingkat pendapatan keluarga. Kajian ini melibatkan seramai 215 orang ibu bapa yang menghantar anak-anak ke tuisyen bagi persediaan peperiksaan SPM tahun 2012. Data diperoleh dengan mengedarkan borang soal selidik, dan di analisis menggunakan statistik deskriptif dan inferens. Statistik deskriptif yang digunakan ialah kekerapan, peratus dan skor min untuk melihat aspek keprihatinan ibu bapa, manakala statistik inferens yang digunakan ialah ujian independent t-test dan ANOVA sehala. Keputusan kajian mendapati aspek keprihatinan ibu bapa menunjukkan skor min yang tinggi bagi tahap keprihatinan terhadap pembelajaran dan masa hadapan, manakala aspek keprihatinan terhadap persaingan menunjukkan skor min yang sederhana. Bagi dapatan statistik inferens menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan aspek keprihatinan ibu bapa terhadap lokasi, bangsa dan tingkat pendapatan. Kajian ini menunjukkan keprihatinan ibu bapa terhadap tuisyen kepada anak-anak selain sekolah formal amat memberangsangkan terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang akan berhadapan dengan peperiksaan.

Kata kunci: Keprihatinan tuisyen, tuisyen, permintaan tuisyen

PENGENALAN

Saban hari permintaan terhadap tuisyen menjadi keutamaan kepada ibu bapa dalam sistem pendidikan di Malaysia. Keadaan ini adalah disebabkan oleh aspek keprihatinan ibu bapa terhadap tuisyen bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan baik, dan mencapai matlamat yang digariskan dalam sistem pendidikan. Aspek keprihatinan ibu bapa turut dipengaruhi oleh peningkatan terhadap keputusan peperiksaan dalam kalangan pelajar (Hanim & Ying, 2010). Aspek keprihatinan ibu bapa ini menjurus kepada perbelanjaan tuisyen kepada anak-anak. Tuisyen yang diberikan kepada pelajar sebelum mengambil peperiksaan membolehkan mereka bersedia menghadapi peperiksaan dengan berjaya dan memperoleh keputusan yang cemerlang (Mashithah & Nor Aishah, 2014). Situasi ini tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga berlaku di India. India merupakan antara negara di dunia yang memandang tuisyen itu adalah sebagai satu keperluan untuk anak-anak bagi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan (Devi & Singh, 2011). Selain Malaysia dan India, terdapat banyak negara lain yang turut memandang tuisyen sebagai satu keperluan kepada anak-anak, antaranya boleh dilihat dalam Jadual 1.1.

Jadual 1.1       Paten tuisyen antarabangsa

Negara
Paten
Hong Kong
Seramai 35%-70% pelajar sekolah menengah (pelbagai gred) menerima tuisyen (Bray & Kwok 2003).
Turki
Pada tahun 1994 tinjauan terhadap perbelanjaan kepada 3898 orang isi rumah, menunjukkan bahawa isi rumah pendapatan rendah memperuntukkan 6.5% kepada tuisyen manakala 24.6% telah dibelanjakan oleh ibu bapa berpendapatan tinggi (Tansel & Bircan 2006).
Vietnam
Tinjauan pada tahun 1997-1998: melibatkan 6000 orang isi rumah  dan 1992-1993, menunjukkan hampir 34% ibu bapa menyediakan tuisyen dan 90% daripada mereka membelanjakan 1% -5% terhadap tuisyen (Dang 2007).
Korea Selatan
Ibu bapa telah membiayai tuisyen kepada sekolah menengah dan sekolah rendah sebanyak 2.9% daripada KDNK (Kim & Lee 2004).
Pada tahun 1996 menunjukkan seramai 48.8% pelajar sekolah menengah rendah menerima tuisyen, dan seramai 70.3% pelajar sekolah menengah atas menerima tuisyen (Bray & Kwok 2003).
Kanada
Tinjauan kerajaan Kanada pada tahun 2000, mendapati 10.9%pelajar berumur 13 tahun menerima 1 jam atau lebih tuisyen setiap minggu (Bray & Kwok 2003).
Bangladesh
46% telah dibelanjakan pelajar terhadap tuisyen (Nath 2008).

Kebanyakan ibu bapa beranggapan dengan memberikan tuisyen kepada pelajar membolehkan mereka menguasai strategi pembelajaran yang berkesan, menggunakan pendekatan yang lebih baik, memberi kesan kepada keyakinan (Tansel & Bircan, 2006), pembelajaran dan pencapaian (Bray & Suso, 2008; Bray, 2006; Ireson, 2005). Kim (2005) telah menyatakan bahawa ibu bapa dari pelbagai lapisan status ekonomi sanggup untuk membelanjakan pendapatan mereka bagi memastikan pendidikan anak-anak mereka adalah yang terbaik (Mashithah & Nor Aishah, 2014). Kesanggupan ini telah dibuktikan oleh ibu bapa di Korea Selatan melalui perbelanjaan tuisyen kepada anak-anak mereka.

Jadual 1.2       Perbelanjaan ibu bapa di Korea Selatan

Tahun
Perbelanjaan tuisyen daripada KDNK (%)
Tahun
Peratus pelajar yang mengambil tuisyen mengikut aspek persekolahan (5)
1990
1.2


2003
Pra sekolah
Sekolah rendah
Sekolah menengah
1994
1.8

83%

75%

56%
1998
2.9
Sumber: Kim (2005)

            Sehubungan dengan itu, golongan ibu bapa yang ingin melihat anak-anaknya lebih cemerlang dalam pendidikan akan menyediakan tuisyen walaupun sistem pendidikan disediakan oleh kerajaan telah sempurna (Merdeka Center, 2005). Ini bagi menghasilkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan membawa kepada keuntungan serta kecemerlangan pada negara. Kajian ini tertumpu kepada permintaan tuisyen yang semakin meningkat permintaannya sedangkan sistem pendidikan formal telah sempurna. Selain itu, pengkaji juga ingin melihat kesanggupan ibu bapa dalam membelanjakan pendidikan tambahan kepada anak mereka.

Fenomena tuisyen begitu pesat berkembang di Malaysia dan permintaan terhadap tuisyen juga semakin meningkat pada saban tahun. Hal ini kerap dikaitkan dengan sistem persekolahan di Malaysia yang berasaskan kepada peperiksaan. Setiap pelajar akan bersaing bagi memastikan mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Namun fenomena ini bertentangan dengan kajian oleh Merdeka Center (2005) yang mendapati bahawa kepuasan pelajar terhadap sistem pendidikan formal adalah tinggi iaitu pada aras 76%, pelajar merasakan puas dengan hanya belajar dalam sistem pendidikan formal dan hanya seramai 24% merasakan tidak puas jika belajar dalam sistem pendidikan formal.

            Dapatan Merdeka Center (2005) terhadap kualiti pendidikan formal juga menunjukkan kemudahan yang disediakan di sekolah iaitu kaedah pengajaran, isi kandungan silibus, serta subjek dan dedikasi guru adalah yang terbaik. Namun persoalannya, mengapakah dalam keadaan kualiti pendidikan yang terbaik, tuisyen berbayar masih menjadi pilihan ibu bapa dan pelajar terutama bagi pelajar yang akan berhadapan dengan peperiksaan besar?.

LITERATUR KAJIAN

Keprihatinan ibu bapa dan pelajar terhadap tuisyen boleh diinterpretasikan sebagai keputusan manusia untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang dimotivasikan oleh pembangunan modal manusia bagi mencapai matlamat hidup iaitu masa hadapan yang lebih baik dan lebih cerah. Berdasarkan teori modal manusia, perbelanjaan pendidikan bukannya hanya untuk penggunaan, ia juga berkaitan dengan pelaburan kepada sumber modal bagi individu (Schultz, 1961). Modal manusia menurut Rahmah et al. (2011) adalah pelaburan dalam aspek pendidikan, latihan semasa kerja, kesihatan dan juga usaha untuk mencari maklumat yang perlu dipertingkatkan dan ditekankan dalam  pembangunan negara. Tambahnya lagi dalam konsep modal manusia semakin panjang tempoh pengajian maka semakin tinggi tingkat produktif serta akan memperoleh upah yang tinggi pada masa hadapan. Manakala menurut Schultz (1961) teori modal manusia adalah berhubung kait dengan pendidikan dalam membentuk modal insan. Berasaskan modal manusia ni menonjolkan lagi aspek keprihatinan ibu bapa dalam memastikan modal insan yang dibentuk dapat memenuhi keperluan tenaga manusia pada masa hadapan. Oleh itu, keprihatinan ibu bapa terhadap tuisyen dapat dikelaskan kepada keprihatinan terhadap pembelajaran, keprihatinan terhadap persaingan dan keprihatinan terhadap masa hadapan anak-anak.

i.                    Aspek keprihatinan terhadap Pembelajaran

Keprihatinan terhadap pembelajaran  ialah menjurus kepada matlamat tuisyen dibiayai oleh ibu bapa. Antara aspek yang menimbulkan kesedaran pembelajaran ini adalah bagi tujuan persediaan peperiksaan, pemulihan, panduan menjawab peperiksaan dan penggunaan masa terluang dalam kalangan anak-anak. Matlamat ini juga timbul adalah disebabkan terdapat beberapa isu antaranya apa yang dibincangkan oleh Bray (2007) dan Nath (2008) terdapat pelbagai masalah yang telah menghalang keberkesanan program yang dilaksanakan kepada setiap pelajar untuk mendapat pendidikan yang sama bagi setiap individu yang berbeza, antara permasalahan mengganggu perancangan sekolah adalah sekolah kecil, ketidakcukupan guru opsyen, pelajar terlalu ramai, gaya pembelajaran tidak berkesan kepada semua pelajar, kebolehan pelajar berbeza dan kemampuan guru mengajar dalam kelas, serta peningkatan persaingan antara pelajar yang menyebabkan ramai ibu bapa pelajar yang begitu prihatin dengan keadaan pembelajaran anak mereka dan telah memilih untuk menyediakan tuisyen (Tansel dan Bircan, 2006) kepada pelajar bagi menguasai setiap pelajaran yang diajar di sekolah dengan lebih baik.

ii.                  Keprihatinan Terhadap Persaingan

Keprihatinan terhadap persaingan dalam kajian ini menjurus kepada aspek yang mendorong ibu bapa dan pelajar untuk berbelanja dalam tuisyen. Keprihatinan terhadap persaingan ini dirujuk dari aspek pengaruh rakan sebaya, keinginan untuk berjaya seperti rakan lain, mahu bersaing, mengulang kaji bersama rakan, mahukan perhubungan emosi dengan rakan, dan aspek-aspek yang membawa kepada perasaan dalaman ibu bapa dan pelajar yang menjurus kepada perbelanjaan tuisyen (Hanim & Ying 2010).

Berdasarkan aspek keprihatinan ibu bapa dan pelajar, tuisyen adalah merupakan pelaburan bagi masa depan untuk memperoleh kerjaya yang baik dan boleh membawa kepada mobiliti sosial seseorang (Kim, 2007). Kebiasaannya untuk mendapat tempat ke universiti adalah memerlukan persaingan oleh itu ibu bapa mengambil inisiatif untuk memastikan pelajar mampu bersaing. Sebagai contoh, sokongan ibu bapa diberikan dengan cara menyediakan tuisyen kepada pelajar untuk menghasilkan pencapaian akademik yang baik dan membolehkan pelajar bersaing dengan pelajar lain. Keadaan ini dapat memberi kesan kepada pembelajaran dan kehidupan pelajar (Ireson & Rushforth, 2005).

iii.                Keprihatinan terhadap Masa Hadapan

Keprihatinan terhadap masa hadapan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar adalah menjurus kepada aspek peperiksaan, memperoleh keputusan yang baik, membuat ulang kaji, mendapatkan panduan khususnya bagi peperiksaan, melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi. Atas keprihatinan ini ibu bapa telah membiayai tuisyen kepada anak-anak mereka. Hal ini, kerana mereka percaya dengan menghadiri tuisyen anak-anak akan memperoleh pertambahan nilai dalam pendidikan, simulasi kognitif dan ibu bapa dapat mengawal aktiviti anak-anak (Davies, 2004).

            Ini dibuktikan dengan kajian Dang (2007) yang mendapati tuisyen mempunyai impak yang signifikan terhadap pencapaian akademik pelajar. Tambahnya lagi impak yang paling besar adalah dalam kalangan pelajar menengah bawah. Oleh itu, mereka percaya pendidikan yang lebih baik akan menjamin anak-anak mereka dalam kehidupan akan datang. Dalam situasi begini banyak negara mengambil pendekatan membangunkan sektor pendidikan tidak formal iaitu tuisyen, walaupun telah tersedia pendidikan formal yang telah dibiayai oleh kerajaan secara percuma. Perkembangan pendebatan isu tuisyen ini, sebagai aspek penting merangsang kepada peningkatan pencapaian akademik pelajar dalam usaha ibu bapa memastikan anak-anak memperoleh pendidikan yang lebih baik bagi tujuan pulangan pada masa hadapan dan memastikan anak-anak mempunyai peluang kerjaya yang lebih baik pada masa hadapan (Devi & Singh, 2011).

METODOLOGI

Kajian ini dijalankan kepada ibu bapa pelajar yang menyediakan tuisyen kepada pelajar bagi persiapan peperiksaan SPM 2012. Oleh itu, ibu bapa yang terlibat adalah ibu bapa pelajar tingkatan 6 di daerah Hulu Langat, Selangor. Pengumpulan data di buat dengan menggunakan borang soal selidik bagi mengetahui aspek keprihatinan ibu bapa terhadap tuisyen yang di hadiri oleh pelajar sebelum berhadapan dengan peperiksaan SPM. Seramai 250 orang ibu bapa telah terlibat, sampel ini dipilih secara rawak mudah mengikut lokasi tempat tinggal, bangsa dan pendapatan ibu bapa.

Secara umumnya soal selidik ini mengandungi 2 bahagian iaitu bahagian A ialah demografi yang melibatkan jantina ibu bapa, jantina pelajar dan lokasi ibu bapa. Manakala bahagian B adalah aspek keprihatinan ibu bapa terhadap tuisyen yang telah dihadiri oleh pelajar semasa persediaan peperiksaan SPM. Instrumen ini telah diadaptasi dari soal selidik yang diubahsuai oleh Budiene (2006) dalam kajian Education in a Hidden Marketplace: monitoring of private tutoring oleh Open Society Institute yang dibina oleh Education Policy Centre of Vilnius University iaitu Lithuanian questionnaire designed. Nilai kesahan dan kebolehpercayaan bagi aspek keprihatinan ibu bapa terhadap tuisyen memperoleh nilai alpha 0.833. Stangor (1998), Kaplan dan Saccuzo (1997) berpendapat nilai alpha 0.07 ke atas menunjukkan instrumen tersebut mempunyai kesahan dalaman yang tinggi. Nilai ini memberi maksud bahawa item-item yang terdapat dalam soal selidik itu dapat mengukur pemboleh ubah yang ingin dikaji.

Jadual 1.3        Kesahan instrumen menggunakan nilai korelasi item dengan jumlah skor yang diperbetulkan dan indeks kebolehpercayaan Cronbach Alpha bagi setiap konstruk kajian dalam kajian rintis bagi responden pelajar

Aspek keprihatinan terhadap tuisyen
Nilai Cronbach Alpha Keseluruhan
Pembelajaran
0.813
Persaingan
0.880
Masa hadapan
0.807
keseluruhan
0.833

Dapatan kajian ini akan dianalisis berdasarkan IBM SPSS Statistic 20. Dua jenis statistik telah digunakan, iaitu statistik deskriptif dan inferensi. Statistik deskriptif menggunakan tahap min yang dirujuk berdasarkan Jadual  1.4. manakala statistik inferensi melihat perbezaan menggunakan ujian-t.

Jadual 1.4       Interpretasi skor min

Min skor
Tahap
1.00 – 2.33
Rendah
2.34 – 3.66
Sederhana
3.67 – 5.00
Tinggi
Sumber: Jamil Ahmad (2002)

DAPATAN KAJIAN

i.                    Taburan Profil Responden Kajian

Jadual 1.5 menunjukkan taburan latar belakang responden dari aspek jantina, bangsa, lokasi pendapatan. Berdasarkan jantina responden, daripada 215 orang responden yang dikaji, 50.2 peratus adalah dalam kalangan responden lelaki dan selebihnya adalah perempuan. Dari aspek bangsa, seramai 78 orang atau 36.3 peratus adalah responden berbangsa cina, diikuti oleh 74 orang atau 33.4 peratus adalah berbangsa Melayu dan 63 orang atau 29.3 peratus berbangsa India.

            Berdasarkan tahap pendapatan ibu bapa didapati seramai 215 responden ini mempunyai tahap pendapatan yang pelbagai. Antaranya seramai 50 orang atau 23.3 peratus memperoleh pendapatan antara RM 1001- RM 2000, diikuti RM 2001- RM 3000 iaitu seramai 48 orang atau 22.3 peratus, seramai 42 orang atau 19.5 peratus memperoleh pendapatan antara RM 4001- RM 5000, Manakala terdapat seramai 24 peratus responden mempunyai pendapatan antara RM 1000 dan ke atas dan  RM 5001-RM 6000 atau 11.2 peratus orang responden.

Jadual 1.5       Taburan Profil Responden Kajian

Latar Belakang Ibu Bapa
Maklumat
Kekerapan
Peratusan (%)
Jantina
Lelaki
108
50.2
Perempuan
107
49.8
Bangsa
Melayu
74
33.4
Cina
78
36.3
India
63
29.3
Lokasi
Bandar
116
54.0
Luar bandar
99
46.0
Pendapatan
RM 1000 ke atas
24
11.2
RM 1001- RM 2000
50
23.3
RM 2001- RM 3000
48
22.3
RM 4001- RM 5000
42
19.5
RM 5001- RM 6000
24
11.2
RM 6001- RM 7000
14
6.5
RM 7001- RM 8000
7
3.3
RM 11,001 dan ke atas
6
2.8

ii.                  Aspek Keprihatinan Terhadap Tuisyen Dalam Kalangan Ibu Bapa

Maklum balas yang diperoleh daripada soal selidik ditunjukkan di jadual 1.6 menujukkan aspek keprihatinan tuisyen dari persepsi ibu bapa  bagi setiap komponen adalah berada pada tahap tinggi. Keputusan tersebut dapat dilihat menerusi pencapaian nilai skor min iaitu antara 3.36 hingga 4.00 yang merupakan darjah yang tinggi pada setiap komponen tersebut. Skor min yang tertinggi ialah aspek keprihatinan pembelajaran (m= 4.00). Ia diikuti dengan skor min aspek keprihatinan tuisyen terhadap masa hadapan (m=3.81). kedua-dua ini berada pada tahap skor min yang tinggi. Manakala aspek keprihatinan persaingan berada pada tahap skor min sederhana (3.35).

Berdasarkan skor min ini, interpretasi yang dapat dirumuskan ialah ibu bapa begitu prihatin dalam menghantar anak untuk menghadiri tuisyen. Ini bermakna ibu bapa sanggup untuk berbelanja terhadap tuisyen bagi memastikan kejayaan anak dalam memperoleh pencapaian SPM yang cemerlang.


Jadual 1.6       Aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa pelajar tingkatan 6 rendah

Aspek keprihatinan
Min
Sisihan piawai
Interpretasi
Pembelajaran
4.00
0.678
Tinggi
Persaingan
3.35
0.731
Sederhana
Masa hadapan
3.81
.0.686
Tinggi
Min Keseluruhan
3.76
0.556
Tinggi

iii.                Perbezaan Keprihatinan Tuisyen Ibu Bapa Berdasarkan Lokasi Tempat Tinggal

Ho1:   Tidak terdapat perbezaan min yang signifikan aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa pelajar berdasarkan aspek lokasi.

Untuk mengukur perbezaan tahap keprihatinan tuisyen ibu bapa berdasarkan aspek bandar dan luar bandar, ujian-t bagi dua kumpulan bebas digunakan. Berdasarkan jadual 1.7, skor min tahap keprihatinan tuisyen bagi luar bandar (min= 3.83) adalah lebih tinggi berbanding skor min bandar (min= 3.64) dengan perbezaan min sebanyak -0.194. Ini menunjukkan terdapat perbezaan skor min aspek keprihatinan tuisyen antara ibu bapa yang tinggal di bandar dan luar banda. Oleh itu, keputusan statistik ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan aspek keprihatinan tuisyen yang signifikan (t=-2.529 df=210.79, p<0.05) antara bandar dan luar bandar.

            Justeru, keputusan ini menolak hipotesis nul (H01). Ini bermakna terdapat perbezaan yang signifikan skor min tahap keprihatinan tuisyen ibu bapa berdasarkan bandar dan luar bandar.

Jadual 1.7 Keputusan Ujian-t perbezaan min tahap keprihatinan tuisyen berdasarkan lokasi ibu bapa.

Lokasi
N
Min
S. Piawai
t
Signifikan
Bandar
116
3.64
0.577
-2.529
0.012
Luar bandar
99
3.83
0.545


*Signifikan pada aras p<0.05

iv.                Perbezaan Aspek Keprihatinan Tuisyen ibu bapa pelajar  Berdasarkan Bangsa

H05.3a: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap keprihatinan tuisyen ibu bapa pelajar tingkatan 6 rendah berdasarkan bangsa.

Jadual 1.8 ANOVA Perbezaan aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa berdasarkan bangsa

Pemboleh ubah

Min
DK
MKD
F
signifikan
Aspek  keprihatinan ibu bapa
Antara kumpulan
2.544
2
1.272
4.040
0.019

Dalam kumpulan
66.737
212
0.315



            Seterusnya, jadual 1.8 menunjukkan keputusan ujian ANOVA sehala yang telah dijalankan. Dapatan menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan (F=4.040 sig.=0.019< 0.05) aspek keprihatinan tuisyen dengan bangsa ibu bapa. Dengan ini, H05.3a adalah ditolak. Oleh itu, terdapat perbezaan yang signifikan aspek keprihatinan ibu bapa berdasarkan bangsa. Seterunya, ujian post-hoc Tukey HSD telah dijalankan bagi mengenal pasti perbezaan skor min aspek keprihatinan ibu bapa terhadap bangsa ibu bapa. Hasil ujian tersebut dipaparkan dalam jadual

Jadual 1.9 Tukey Perbezaan aspek perhatian mengikut pendapatan

Bangsa
N
Min
Melayu
Cina
India

Melayu

74
3.769
0
0.017*
0.141
Cina
78
3.6174
0.017*
0
0.465
India
63
3.6870
0.141
0.465
0

            Hasil ujian psot-hoc Tukey HSD yang telah dijalankan bagi mengenal pasti perbezaan aspek keprihatinan responden mengikut bangsa seperti ditujukan pada jadual 1.9 menunjukkan terdapat perbezaan skor min yang signifikan aspek keprihatinan antara bangsa Melayu dengan cina (sig. = 0.017). Manakala hasil ini juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan dengan bangsa India (sig. = 0.141).

v.                  Perbezaan Aspek Keprihatinan Tuisyen Ibu Bapa Berdasarkan Pendapatan

Ho5.4a: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan tahap keprihatinan tuisyen ibu bapa pelajar tingkatan 6 rendah berdasarkan aspek pendapatan.

Jadual 1.10 ANOVA Perbezaan aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa berdasarkan pendapatan

Pemboleh ubah

Min
DK
MKD
F
signifikan
Aspek keprihatinan ibu bapa
Antara kumpulan
5.090
7
0.727
2.345
0.025

Dalam kumpulan
64.190
207
0.310



            Seterusnya, jadual 1.10 menunjukkan keputusan ujian ANOVA sehala yang telah dijalankan. Dapatan menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan (F=2.345, sig.=0.025< 0.05) aspek keprihatinan tuisyen dengan pendapatan ibu bapa. Dengan ini, H05.4a adalah ditolak. Oleh itu, terdapat perbezaan yang signifikan aspek keprihatinan ibu bapa berdasarkan pendapatan. Seterunya, ujian post-hoc LSD telah dijalankan bagi mengenal pasti perbezaan skor min aspek keprihatinan dengan pendapatan ibu bapa terhadap pendapatan ibu bapa. Hasil ujian tersebut dipaparkan dalam jadual 4.24

Jadual 1.11 LSD Perbezaan aspek perhatian mengikut pendapatan

Pendapatan
N
Min
Perbezaan Min
Sig.

RM 1000 ke bawah
24
3.5117
.72262*
0.003
RM 1001 - RM 2000
50
3.6376
.59669*
0.009
RM 2001 -RM 3000
48
3.6425
.59179*
0.009
RM 4001 - RM 5000
42
3.8552
.37905
0.097
RM 5001 -RM 6000
24
3.7517
.48262*
0.045
RM 6001 -RM 7000
14
3.8743
.36000
0.164

            Hasil ujian psot-hoc LSD yang telah dijalankan bagi mengenal pasti perbezaan aspek keprihatinan responden mengikut pendapatan seperti ditujukan pada jadual  1.11. Jadual menunjukkan terdapat perbezaan skor min yang signifikan aspek keprihatinan antara pendapatan RM 7001- RM 8000 dengan pendapatan RM 1000 ke bawah (sig. = 0.003), RM 1001 - RM 2000 (sig.= 0.009), RM 2001 -RM 3000 (sig.= 0.009) dan  RM 5001 -RM 6000 (sig.= 0.045). manakala hasil ini juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan dengan RM 4001 - RM 5000 (sig. = 0.097) dan RM 6001 -RM 7000 (sig.= 0.164).

PERBINCANGAN DAN RUMUSAN

Aspek keprihatinan ini merangkumi aspek keprihatinan pembelajaran, persaingan dan masa hadapan yang mendorong penglibatan dalam tuisyen. Hasil kajian ini mendapati secara keseluruhannya persepsi ibu bapa tentang semua komponen di bawah aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa pelajar tingkatan 6 rendah adalah berada pada aspek keprihatinan yang tinggi. Berdasarkan trend min didapati bahawa nilai min yang paling tinggi adalah dirujukkan oleh pembelajaran dan diikuti oleh masa hadapan dan persaingan. Ini membuktikan aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa yang banyak mendorong mereka menyediakan tuisyen kepada pelajar disumbangkan oleh komponen pembelajaran, masa hadapan dan persaingan. Dengan ada persepsi positif bermakna peluang anak-anak mendapatkan tuisyen lebih baik.

            Seterusnya, analisis terperinci persepsi ibu bapa tentang keprihatinan tuisyen terhadap penglibatan tuisyen pelajar. Dapatan menunjukkan pencapaian nilai skor min bagi aspek keprihatinan tuisyen terhadap pembelajaran berada pada aspek yang tinggi. berdasarkan trend min pula, didapati  nilai min yang paling tinggi adalah ditunjukkan oleh keinginan ibu bapa untuk anak-anak membuat persediaan peperiksaan, keinginan ibu bapa untuk memperbaiki pencapaian anak-anak dan keinginan ibu bapa untuk memastikan anak-anak menguasai strategi pembelajaran yang berkesan. Dapatan ini selari dengan isu yang dibawa oleh Bray (2007) dan Nath (2008) iaitu, terdapat pelbagai masalah yang telah menghalang keberkesanan program yang dilaksanakan kepada setiap pelajar untuk mendapat pendidikan yang sama bagi setiap individu yang berbeza, antara permasalahan mengganggu perancangan sekolah adalah sekolah kecil, ketidakcukupan guru opsyen, pelajar terlalu ramai, gaya pembelajaran tidak berkesan kepada semua pelajar, kebolehan pelajar berbeza dan kemampuan guru mengajar di dalam kelas, serta peningkatan persaingan antara pelajar yang menyebabkan ramai ibu bapa pelajar yang begitu prihatin dengan keadaan pembelajaran anak mereka dan telah memilih untuk menyediakan tuisyen tambahan (Tansel dan Bircan, 2006) kepada pelajar bagi menguasai setiap pelajaran yang diajar di sekolah dengan lebih baik.

            Dapatan seterusnya menunjukkan pencapaian nilai skor min bagi aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa terhadap persaingan berada pada aspek yang sederhana. berdasarkan trend min pula, didapati nilai min yang paling tinggi adalah ditunjukkan oleh keinginan ibu bapa untuk membantu anak meningkatkan keyakinan apabila bersama dengan rakannya. Menerusi trend min pula, didapati bahawa nilai min yang sederhana adalah ditunjukkan oleh keinginan ibu bapa untuk memberi peluang bersaing dengan rakan-rakan, ingin meningkatkan kemahiran sosial anak, mahukan anak-anak belajar dengan rakan. Dapatan ini menunjukkan keinginan ibu bapa untuk meningkatkan keyakinan diri adalah lebih positif berbanding keinginan yang lain. Hal ini, boleh dikaitkan dengan persepsi ibu bapa bahawa keyakinan diri membolehkan anak-anak bersaing dan seterunya akan meningkatkan pencapaian anak-anak. Situasi ini, selari dengan kajian Kowk (2004); Bray & Kwok (2003) iaitu ibu bapa rasa sangat tertekan jika tidak menghantar anak-anak ke pusat tuisyen sekiranya pelajar lain ke tuisyen. Justeru, tekanan ini mendorong ibu bapa untuk berbelanja terhadap tuisyen

            Dapatan seterunya menunjukkan pencapaian nilai skor min bagi aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa terhadap masa hadapan berada pada aspek yang tinggi. Berdasarkan trend min pula, didapati  nilai min yang paling tinggi adalah ditunjukkan oleh keinginan ibu bapa untuk anak-anak mendapat tempat di asrama penuh, ingin anak-anak memperoleh kefahaman yang mendalam bagi topik yang sukar, mengubah sosioekonomi keluarga, dan memastikan anak mendapat markah yang baik dalam peperiksaan. Hal ini boleh dikaitkan keprihatinan ibu bapa membiayai tuisyen adalah demi masa hadapan anak-anak. Dapatan ini selari dengan kajian Hanim & Ying (2010) yang mendapati seramai 67 orang responden (83.8%) berpendapat bahawa ibu bapa mereka percaya bahawa guru di pusat tuisyen dapat membantu pelajar meningkatkan keputusan.

Dapatan ini disokong oleh Bray dan Kwok (2003) aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa timbul disebabkan oleh estim-kendiri, kemampuan belajar dan motivasi. Manakala Hanim dan Ying (2010) dan Kim (2005) melihat aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa didorong oleh beberapa sebab iaitu: kualiti pendidikan di sekolah adalah rendah, aspek peperiksaan, keberkesanan guru mengajar dan tekanan rakan sebaya. Begitu juga dengan pandangan Tansel dan Bircan (2006) yang mana, aspek keprihatinan tuisyen ibu bapa adalah didorong oleh kekurangan pusat pengajian tinggi, bilangan pelajar ramai dalam kelas bukanya aspek pendapatan ibu bapa itu sendiri. Hal ini, juga telah ditegaskan oleh Kim (2005) yang mana ibu bapa dalam pelbagai lapisan status ekonomi sanggup membelanjakan pendapatan mereka bagi memastikan pendidikan pelajar adalah yang terbaik.

Terdapat beberapa penyelidik lain seperti Kim dan Park (2010); Bray (2006) juga menyokong pendapat yang mengatakan ibu bapa juga begitu menitik beratkan kelayakan pelajar masuk ke universiti. Oleh itu, tuisyen ini sudah menjadi satu kebiasaan bagi kebanyakan negara, seperti mana di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. ketiga-tiga negara ini menunjukkan bahawa 70% pelajar menerima tuisyen di sepanjang pengalaman mereka belajar (Silova dan Bray, 2006) dan di Malaysia sendiri seramai 83% pelajar menerima tuisyen semasa sekolah menengah (Bray, 2007).

KESIMPULAN

Kajian ini mendapati bahawa terdapat perbezaan keprihatinan ibu bapa terhadap tuisyen berdasarkan bangsa, lokasi dan pendapatan ibu bapa. Hal ini menunjukkan tahap keprihatinan ibu bapa di Daerah Hulu Langat berada pada tahap yang tinggi. Ibu bapa sanggup untuk menyediakan tuisyen kepada anak-anak mereka dalam memastikan kejayaan anak-anak di masa hadapan dalam membentuk modal insan yang berkualiti dan berilmu.

  
RUJUKAN

Bray, M (2007). The Shadow Education System: Private Tutoring and Its Implications for Planner. Edisi kedua. United Nations: Educational, Scientific and Cultural Organization.
Bray, M (2006). Private Supplementary Tutoring: Comparative Perspectives on Patterns and Implication. UNESCO International Institute For Education Planning (IIEP) 36 (4): 515-530.
Bray, M. & Kwok, P (2003). Demand for Private Supplementary Tutoring: Conceptual Considerations, and Socio-Economic Patterns in Hong Kong.  Economics of Education Review 22(6): 611-62
Dang, H. A (2007). The Determinants and Impact of Private Tutoring Classes in Vietnam. Economics of Education Review 26(6): 683-698.
Davies, S (2004). School Choice by Default? Understanding the Demand for Private Tutoring in Canada.  American Journal of Education 110(3): 233-255.
Devi, R. & Singh, H (2011). A Student of Perception of Parents, Students and Teachers Towards Private Tuition: A Case Study of Kathua Twon.  International Journal od Educational Administration 3(1): 1-8.
Hanim Sulaiman & Ying, C. K. M (2010). Faktor-Aspek Yang Mempengaruhi Penyertaan Tuisyen Berbayar Di Taman Universiti, Skudai, Johor. http://eprints.utm.my/10914/1/Faktor-Faktor_Yang_Mempengaruhi_Penyertaan_Tuisyen.pdf [ 15 Mei 2012]
Jamil Ahmad (2002). Pemupukan budaya penyelidikan di kalangan guru di sekolah: satu penilaian. Tesis Doktor Falsafah. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ireson, J (2005). How widespread is private tuition?. Education Journal. Issues 87.
Kaplan, M.R. & Saccuzo, P.D (1997). Psychological Testing: Principles, applications and issues. Ed. ke-4. Boston: Brooks/Cole Publishing Company.
Kim, J.-H. & Park, D (2010). The Determinants of Demand for Private Tutoring in South Korea. Asia Pacific Educ. Rev 11(0): 411-421.
Kim, S & Lee, J.H (2004). Private Tutoring and Demand for Education in South Korea. Economic Development and Cultural Change 2010 58(2): 259-296.
Kim, T (2005). Shadow Education: School Quality and Demand for Private Tutoring in Korea. Discussion Paper No. 055: Interfaces for Advanced Economic Analysis. Kyoto: Kyoto University.http://www.kier.kyoto-u.ac.jp/coe21/dp/51-60/21COE-DP055.pdf [21 Mei 2012].
Merdeka canter (2005). Experiences with Education System, Tuition Classes and Current Sentiments on the Economy.
Mashithah Khalid  &  Nor Aishah Buang (2014). Tuisyen Persediaan Peperiksaan PMR Dalam Kalangan Pelajar Tingkatan 4 Dari Persepsi Ibu Bapa. International seminar Global Education  2014. (CD).
Nath, S. R. 2008. Private Supplementary Tutoring among Primary Students in Bangladesh.  Educational Studies 34(1): 55-72.
Rahmah Ismail, Zulridah Mohd Nor & Noris Fatilla Ismail (2011). Impak Latihan Terhadap Perbezaan Upah Antara Bandar-Terpilih Di Malaysia jurnal ekonomi Malaysia 45(0): 41-51.
Stangor, C (1998). Research Methods For The Behavioural Sciences. Boston: Houghton Miffin
Silova, I. & Bray, M (2006). The Hidden Marketplace: Private Tutoring in Former Socialist Countries. Dlm. (pnyt.). Education in a Hidden Marketplace, Monitoring of Private Tutoring. Overview and Country Reports, , hlm. 1-335. New York.