Monday 28 May 2012

Pembiayaan


PEMBIAYAAN PENDIDIKAN DAN KESAN KEATAS MOTIVASI PELAJAR DAN PENCAPAIAN AKADEMIK
(Education Finance And Effects On Student’s Motivation And Academic Achievement)
Mashithah binti Khalid & Muhammad bin Hussin
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor, Malaysia.
Mashithah_khalid@yahoo.com.my

























ABSTRAK: Kajian ini bertujuan untuk meninjau sumber dan jumlah pembiayaan pendidikan yang diperuntukkan oleh ibu bapa pelajar di fakulti pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian ini dilaksanakan untuk mengenal pasti perbezaan jumlah pembiayaan pendidikan berdasarkan jantina dan motivasi pelajar dan Selain itu kajian ini adalah untuk meninjau perbezaan jumlah pembiayaan pendidikan berdasarkan jantina  serta perbezaan di antara jumlah pembiayaan terhadap pendapatan ibu bapa. Kajian ini juga adalah untuk mengenal pasti sama ada wujud hubungan antara jumlah pembiayaan  pendidikan dengan motivasi dan hubungan antara motivasi pelajar dengan akademik pelajar. Seramai 124 orang responden di fakulti pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia telah dipilih secara rawak dalam kajian ini. Instrumen kajian yang digunakan adalah Work Preference Inventory (WPI). Data yang dikumpul dianalisis dengan menggunakan  (Statistic Package For Social Science ( SPSS) for WINDOW Relese 19). Hasil analisis deskriptif menunjukkan majoriti pendapatan ibu bapa bersumberkan pendapatan semasa untuk membiayai pendidikan pelajar dengan min jumlah pembiayaan pendidikan sebanyak 3.73. Hasil analisis ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan di antara jumlah pembiayaan pendidikan di antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Manakala Ujian ANOVA mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jumlah pembiayaan pendidikan berdasarkan jumlah pendapatan ibu bapa. Ujian korelasi Person  menunjukkan tidak terdapat perhubungan di antara pembiayaan pendidikan berdasarkan motivasi dan perhubungan di antara motivasi berdasarkan pencapaian.

Kata kunci: Pembiayaan Pendidikan, Motivasi, sumber pembiayaan ibu bapa.

Abstract: The study was done to do a survey on the sources and total educational financing provided by the parents in the faculty of education, UKM. Besides that, the study was also carried out to identify the differences in the total educational financing based on sex and motivation of the students, income of the parents, and also to see if there is any relation between the total educational financing and the motivation of the students and whether the motivation affects the academic achievement of the students. A number of 124 respondents from Faculty of Education of UKM were randomly chosen for the purpose of the study. The instruments used by Work Preference Inventory (WPI)). The collected data was analysed using the SPSS. The results of descriptive analysis show that the majority of the financial sources for education are from current income with a mean of 3.73. The t-test analysis shows that there is a significant difference in the total of educational financing between male and female students. However, ANOVA test result shows on the other hand, which is no difference between the total financial cost for education and total income of parents. Person correlation test shows that there is no relation between educational financing and motivation of the students, also no relation between the motivation of the students with academic achievements of the students.

Key word: Funding of Education, Motivation, Academic Achievement. Amount of education, source of funding by parent.




1.0     Pengenalan


Pendidikan adalah merupakan asas kepada sebuah negara untuk membangun dan menjadi negara maju. Ini kerana, pendidikan adalah pelaburan utama negara dalam membentuk sumber manusia yang berkualiti dalam menyumbangkan kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara (Siti Nor Azlina 2006). Melalui pendidikan, negara akan mengalami perubahan yang besar di dalam pertumbuhan ekonomi negara. Perbelanjaan negara ke atas pendidikan sememangnya wajar memandangkan potensi sumbangannya terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Kebanyakan negara memberikan subsidi di dalam sektor pendidikan (Jin, Shin & Jin 2006). Oleh itu setip tahun kerajaan telah meningkatkan perbelanjaan ke atas sektor pendidikan. Dalam tempoh 1990-2010, perbelanjaan pendidikan di Malaysia telah berkembang sebagai satu aspek perkhidmatan sosial yang menguasai nisbah tertinggi daripada jumlah peruntukan awam kepada sektor sosial. Seperti yang dinyatakan oleh Laporan Ekonomi 2006/2007, pada tahun 2002 kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM 20,719,036,710 dan jumlah ini semakin meningkat pada tahun 2007 kepada RM 22,139,790,900. Pembiayaan pendidikan secara umumnya adalah tertakluk di bawah tanggungan kementerian pendidikan sebagaimana peruntukan yang diberikan oleh perlembagaan persekutuan di bawah akta perkara 12(1), 94(1) dan 132(1)(h). Tanggungjawab kerajaan terhadap pembiayaan pendidikan ini telah ditetapkan oleh akta pendidikan 1961 dan dikemaskinikan serta diperluas melalui akta pendidikan 1996.

Namun demikian, tanggungjawab ini bukanlah tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Ibu bapa juga perlu libatkan diri dalam membiayai kos pendidikan anak-anak Johnstone (2004).   Sebenarnya penglibatan ibu bapa dalam membiayai pendidikan merangkumi penyediaan aspek yang berbentuk modal fizikal (kewangan) dan modal sosial sebagai usaha membantu anak-anak meningkatkan motivasi belajar dan pencapaian akademik Parcel & Dufur (2001). Menyedari hakikat ini, sektor pendidikan memerlukan perbelanjaan yang semakin meningkat atas dorongan perkembangan kualiti dan kuantiti selaras dengan pembangunan dan wawasan negara. Walau bagaimanapun ramai ibu bapa yang  tidak menyedari senario ini dan tidak mempunyai inisiatif untuk merancang lebih awal pembiayaan pendidikan serta tidak sedar akan tanggungjawab mereka dalam pendidikan anak-anak (Norlela 2003).

Ibu bapa dikenal pasti sebagai sumber utama bagi aset dan pelaburan insan. Justeru mereka perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk perbelanjaan pendidikan anak-anak mereka (Siti Nor Azlina 2006). Apabila ibu bapa menganggap pelajaran merupakan salah satu pelaburan modal insan, mereka akan berusaha untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka bagi memastikan pelajaran anak-anak tidak terabai. Galakan ibu bapa seperti menyediakan kemudahan pembelajaran merupakan satu komponen pelaburan modal insan bagi anak-anak. Sumbangan kewangan yang disediakan menunjukkan betapa perlunya pelaburan dan pembiayaan pendidikan dalam kalangan ahli keluarga (Parcel & Dufur 2001).

1.1    Objektif Kajian


Objektif kajian ini adalah untuk menjelaskan dengan lebih lanjut apa yang pengkaji ingin melihat antaranya ialah:

i.     Mengenal pasti min jumlah pembiayaan pendidikan yang disediakan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
ii.   Mengenal pasti perbezaan di antara jumlah pembiayaan pendidikan dalam kalangan pelajar berdasarkan jantina
iii.  Mengenal pasti hubungan yang terdapat di antara jumlah pembiayaan pendidikan berdasarkan motivasi pelajar.
iv.  Mengenal pasti hubungan motivasi untuk belajar berdasarkan pencapaian pelajar di UKM

2.0     Pembiayaan Pendidikan Di Malaysia


Pembiayaan pendidikan oleh ibu bapa merupakan perkongsian kos pendidikan di antara kerajaan dan ibu bapa di mana kerajaan menguruskan pembiayaan mengurus sekolah dan membangunkan sekolah manakala ibu bapa membiayai keperluan lain untuk anak-anak. Menurut Johnstone (2004), perkongsian kos pendidikan adalah peralihan sebahagian beban daripada kerajaan kepada ibu bapa dan pelajar. Tambahan pula, keadaan ini telah menjadi trend di seluruh dunia dan  ianya banyak berlaku di Eropah di mana kerajaan telah memperkenalkannya melalui yuran pembelajaran, cas penggunaan makanan dan tempat tinggal serta pengurangan pembiayaan biasiswa kepada pelajar.

Kebanyakan negara pendidikan di biayai oleh kerajaan seperti dinyatakan dalam kajian Liu, Choub & Liu  (2006) menjelaskan manfaat daripada perbelanjaan dalam pendidikan tinggi awam di Taiwan. Kajiannya juga melihat kesan pengedaran perbelanjaan kerajaan, di Taiwan pendidikan telah di subsidi oleh kerajaan pada tahun 1998 perbelanjaan kerajaan telah meningkat dan menyumbang 0.56% daripada KDNK, sumbangan ini menghampiri dengan kebanyakan negara OECD. Pembiayaan pendidikan telah dilihat dan dikaji oleh beberapa orang pengkaji antaranya Siti Nor Azlina (2006) yang melihat sumber dan jumlah pembiayaan pendidikan yang di peruntukan oleh ibu bapa bagi pelajar tingkatan  4. Kajian yang dilakukan oleh Jin-Tan Liu et al. (2006) turut menggunakan pendapatan ibu bapa, tahap pendidikan dan status ekonomi keluarga dalam menentukan kemasukan pelajar ke dalam universiti. Berdasarkan kajian ini ibu bapa yang bekerja dalam sektor kerajaan berpotensi memperoleh subsidi berbanding ibu bapa yang tidak bekerja dalam sektor kerajaan.

2.1    Motivasi Pembelajaran Pelajar


Motivasi adalah penting dalam diri seseorang pelajar terutama ketika mempelajari sesuatu. Motivasi turut mendorong pembelajaran seseorang pelajar bagi meningkatkan pencapaian pelajar. Hal ini dapat dilihat dalam kajian Abdul Rahim et al. (2008) yang menjelaskan pembelajaran seseorang pelajar didorong kuat oleh motivasi, di mana motivasi memainkan peranan penting untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar untuk menguasai pembelajaran mereka. Pencapaian yang cemerlang seseorang pelajar adalah bergantung kepada bagaimana pelajar berkenaan memotivasikan dirinya. Kajian yang dibuat oleh  Abdul Rahim et al. (2007) mendapati bahawa faktor yang mendorong pelajar untuk terus belajar adalah disebabkan kerana pengiktirafan dan persijilan. Selain faktor ini, faktor pembiayaan kos daripada ibu bapa turut menyumbangkan motivasi di dalam diri pelajar untuk terus bermotivasi dan secara tidak langsung meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Ini kerana, motivasi memainkan peranan untuk mengaspirasikan seseorang untuk bekerja secara individu ataupun secara berkumpulan bagi menghasilkan sesuatu yang terbaik (N. Malik 2010).

Motivasi adalah sesuatu yang mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu bagi mencapai tujuan yang ingin dicapai. Motivasi juga dikaitkan dengan rencana atau keinginan untuk menuju kejayaan dan menghindari kegagalan. Motivasi boleh juga ditakrif sebagai satu proses untuk mencapai sesuatu tujuan, seseorang yang mempunyai motivasi bermakna dia mempunyai kekuatan untuk memperoleh kejayaan dalam hidup. Motivasi juga merupakan penggerak kepada melakukan sesuatu, motivasi terbahagi kepada dua  iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Menurut Ghazali, Nik Mohd Rahimi & Parilah (2010), motivasi ialah kesungguhan dan ketekalan seseorang dalam tindakan dan secara langsung membantu dalam menyelesaikan tugasan. Di samping itu dalam kajian mereka telah melihat motivasi dari dua sudut iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Kedua-dua motivasi ini menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai tahap motivasi intrinsik yang tinggi berkemungkinan mempunyai tahap ekstrinsik yang sedahan dan begitu juga sebaliknya. Motivasi intrinsik menurut (Hater 1982) adalah motivasi di dalam diri manusia dan merupakan penggerak untuk kepentingan sendiri atau memperoleh ganjaran bagi sesuatu perbuatan kepada diri sendiri. Di samping itu juga beliau telah melihat terdapat lima dimensi kecenderungan seseorang untuk memenuhi motivasi intrinsik dalam pembelajaran. Dimensi yang diperkenalkan adalah cabaran, ganjaran, belajar untuk memenuhi minat dan sifat ingin tahu, percubaan pengurusan yang bebas dan penilaian ataupun pendapat yang bebas berkaitan apa yang hendak dilakukan di dalam bilik darjah dan kejayaannya.

Secara umumnya, motivasi adalah sesuatu yang mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu bagi mencapai tujuan yang ingin dicapai. Motivasi juga dikaitkan dengan rencana atau keinginan untuk menuju kejayaan dan menghindari kegagalan. Motivasi juga boleh ditakrifkan sebagai satu proses untuk mencapai sesuatu tujuan, seseorang yang mempunyai motivasi bermakna dia mempunyai kekuatan untuk memperoleh kejayaan dalam hidup. Motivasi juga merupakan penggerak kepada melakukan sesuatu, motivasi terbahagi kepada dua  iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.

2.2    Teori Motivasi Abraham Maslow


Abraham Maslow menyatakan pada dasarnya  manusia memiliki keperluan asas. Keperluan asas ini merujuk kepada lima tingkat yang berbentuk piramid. Lima tahap keperluan ini dikenali sebagai Hierarki keperluan Maslow, lima tahap keperluan Maslow yang menentukan motivasi pembelajaran adalah seperti berikut menurut (Anon 2002):

2.2.1 Keperluan Fisiologi

Keperluan fisiologi merupakan keperluan asas manusia yang terletak di bahagian bawah piramid, faktor ini merupakan dorongan kuat untuk manusia terus hidup. Antara keperluannya adalah: perlindungan, makanan dan minuman, kesegaran udara dan lain-lain.
2.2.2 Keperluan Keselamatan
keperluan keselamatan bertujuan untuk mengelakkan individu daripada perkara-perkara yang menjejaskan masa depan seperti kesihatan, keamanan, kestabilan kerja, undang-undang dan iklim.

2.2.3 Keperluan Sosial/ Kasih Sayang

keperluan sosial melibatkan perhubungan di antara penerimaan kumpulan atau masyarakat terhadap seseorang individu seperti persahabatan, kasih sayang dan penerimaan.

2.2.4 Keperluan Penghargaan

keperluan ini tercetus apabila ketiga-tiga keperluan di atas dipenuhi. Ini akan mewujudkan kehendak untuk penghargaan kendiri. Kita mahu berkuasa, sekurang-kurangnya ke atas diri kita sendiri. Pada masa yang sama, kita juga perlukan kekuatan, kebolehan, kepakaran serta kebebasan. Seterusnya manusia ingin dihormati, di sanjung dan kehendak status dalam hidup.

2.2.5 Keperluan Kemampuan Kendiri

Keperluan terakhir adalah keperluan kendiri di mana ia sebagai pencapaian seseorang individu seperti potensi diri, bebas, kreativiti dan pencapaian

2.3    Achievement Theory Mc Clelland


Ujian teori berprestasi berpendapat bahawa individu boleh mempunyai motivasi tinggi atau rendah dalam dua dimensi yang berasingan: tugas-orientasi dan ego-orientasi. Misalnya bila diterapkan di dalam konteks sukan, ahli sukan yang motivasinya tinggi dalam tugas-orientasi mendefinisikan kejayaan relatif terhadap kemampuan mereka untuk melakukan tugas-tugas tertentu dengan lebih kompeten berbanding hasil tugas-tugas dengan ahli sukan lain menurut ( Gilson al et. 2008). Teori Mc. Clelland terdapat tiga motif. Antara motifnya adalah motif untuk berprestasi, motif untuk bersahabat dan motif untuk berkuasa. (Anon 2008):

2.3.1 Motif Untuk Berprestasi

Perasaan untuk melakukan sesuatu lebih baik atau lebih cekap, untuk menyelesaikan masalah. Perasaan pelajar akan melakukan sesuatu secara lebih baik daripada yang dilakukan oleh pelajar lain, pelajar akan mencapai ukuran keberhasilan yang ditetapkan sendiri, mencapai sesuatu yang unik dan luar biasa serta memikirkan berkaitan masa hadapan.

2.3.2 Motif Untuk Bersahabat

Perasaan untuk mengenal dan mengekalkan persahabatan dan perhubungan dengan seseorang. Pelajar akan merasakan apakah disukai dan diterima orang lain atau satu kelompok  dan ingin menjalankan persahabatan, rasa cemas terhadap hubungan peribadi yang baik dan perhatian terhadap kejadian yang mengandung kehangatan sosial.

2.3.3 Motif Untuk Berkuasa

Perasaan untuk mengawal orang lain, mempengaruhi kelakuan, dan bertanggungjawab kepada orang lain. Pelajar akan melakukan perbuatan yang dapat menunjukkan pengaruh atau kekuasaan ( mengarahkan, menolong tanpa diminta, mempengaruhi orang lain), melakukan sesuatu yang mengakibatkan timbulnya perasaan sangat positif atau negatif, banyak menaruh perhatian terhadap nama baik atau kedudukan dan bawahan menjadi inovatif, tantangan dan perancangan.

2.4    Pencapaian Pelajar


Menurut Abd. Sukor et al. (t.th), pencapaian akademik merujuk kepada hasil yang di peroleh oleh pelajar-pelajar setelah mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan. Dalam erti kata yang lain, pencapaian pelajar adalah merujuk kepada penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran pada sesuatu tahap, mengikut ukuran peperiksaan. Pencapaian pelajar adalah menjurus hasil pembelajaran yang diperoleh oleh pelajar setelah selesai proses pembelajaran. Pencapaian pelajar adalah berdasarkan peperiksaan ataupun penilaian oleh guru setelah selesai belajar. Kebiasaannya, jika semangat motivasi seseorang pelajar tinggi, maka pencapaian yang akan di peroleh akan memberangsangkan dan ini akan menghasilkan pelajar yang cemerlang. Pencapaian pelajar biasa diukur berdasarkan gred markah dan tahap penguasaan ilmu oleh pelajar. Pencapaian pelajar saling berkaitan dengan motivasi di mana kajian yang dijalankan oleh Saemah dan John (2006) mendapati bahawa motivasi secara konsisten menunjukkan hubungan yang positif antara motivasi dengan pencapaian pelajar.

3.0    Kaedah Kajian


Kajian ini berbentuk tinjauan dengan menggunakan soal-selidik.  Kajian ini juga merupakan satu kajian kuantitatif, memandangkan ia hanya meninjau perkaitan antara pemboleh ubah bebas dan pemboleh ubah bersandar. Beberapa ujian statistik digunakan untuk menganalisis data dan menentukan sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara pemboleh ubah-pemboleh ubah berkenaan. Data yang dipungut melalui soal selidik dianalisis dengan menggunakan bantuan komputer. Perisian komputer yang digunakan dalam kajian ini ialah Pakej Statistik Untuk Sains Sosial (SPSS PC + VERSION 19). Data-data yang di kumpul, akan diproses dan dianalisis dengan tujuan mendapatkan keputusan dan hasil kajian.

Populasi kajian ini terdiri daripada pelajar fakulti pendidikan pelbagai tahun di UKM yang berjumlah 962 orang yang terdiri daripada pelbagai khusus. Sampel kajian ini melibatkan 124 orang pelajar yang dipilih secara rawak. Pembahagian jumlah sampel adalah hampir sama di antara pelajar lelaki dan perempuan iaitu 69 perempuan dan 55 lelaki . Pemilihan yang dilakukan ini adalah untuk mencapai objektif kajian ini untuk melihat jurang jumlah pembiayaan pendidikan mengikut jantina.

Soal selidik ini ditadbir kepada sampel kajian di Fakulti Pendidikan,UKM bagi mendapatkan maklumat pembiayaan pendidikan dalam kalangan ibu bapa pada pelajar di samping melihat kesan ke atas motivasi pelajar dengan pembiayaan pendidikan oleh ibu bapa pelajar dan hubungan tidak langsung dengan pencapaian pelajar di Fakulti Pendidikan, UKM. Soal selidik ini mengandungi 5 bahagian iaitu demografi pelajar dan ibu bapa, jumlah perbelanjaan pelajar, motivasi pembelajaran dan pencapaian. Bahagian pertama soal selidik ini telah diubahsuai daripada kajian yang di lakukan oleh Siti Nor Azlina Mat Hassan (2006). Bahagian kedua adalah berkaitan motivasi, bahagian ini pula telah diadaptasi daripada Work Preference Inventory (WPI) yang direka oleh Amabile T. M 1987 yang telah di ubahsuai daripada kajian (Amabile. T. M et al 1994).

Proses menganalisis melibatkan dua jenis analisis, iaitu analisis deskriptif dan ujian-t. Analisis deskriptif digunakan untuk memerihalkan maklumat tentang profil responden seperti, kekerapan pembiayaan pendidikan oleh ibu bapa, dan jumlah pembiayaan pendidikan oleh ibu bapa. Di samping itu, analisis deskriptif juga digunakan untuk menghuraikan faktor menyumbangkan kepada pembiayaan pendidikan oleh ibu bapa. Statistik yang digunakan adalah kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai. Bagi menguji hipotesis nol, analisis ujian-t digunakan. Analisis ujian-t yang digunakan bagi menguji hipotesis nol untuk melihat perbezaan min di antara jumlah pendapatan berdasarkan jantina dan menguji perbezaan jumlah pembiayaan berdasarkan motivasi pelajar. Bagi analisis ujian-t, aras signifikan ditetapkan pada tahap 0.05.

4.0    Dapatan Kajian


Hasil daripada dapatan analisis terhadap data akan di pamerkan dalam bentuk graf, jadual dan gambar rajah. Pendekatan yang digunakan adalah deskriptif, data yang dipamerkan dalam bentuk graf , carta dan histogram yang menunjukkan bentuk laporan kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawaian. Manakala statistik inferens digunakan seperti ujian-t tidak bersandar, dan korelasi. Pendekatan inferens digunakan untuk merumus dan mentafsirkan data dengan lebih terperinci.

Jadual 1 menunjukkan 59 orang responden (47.6 %) memperoleh pembiayaan pendidikan dari ibu bapa sebanyak RM 101- RM 200, manakala seramai 17 (13.7%) tidak mendapat pembiayaan daripada ibu bapa, 16 orang responden (12.9%) memperoleh jumlah pembiayaan kurang daripada RM 100 daripada ibu bapa, 10 0rang (8.1%) memperoleh RM 201- RM 300 dan 10 orang (8.1%) yang lain memperoleh pembiayaan RM 301 – RM 400 sebulan. 9 orang responden (7.2%) memperoleh RM 500 dan ke atas dan jumlah pembiayaan yang tertinggi iaitu sebanyak RM 401- RM 500 hanya seramai 3 orang yang memperoleh. Hasil kajian menunjukkan majoriti pelajar memperoleh pembiayaan daripada ibu bapa sebagai memenuhi perbelanjaan kehidupan di kampus. Pendapatan keluarga pelajar rata-rata adalah sekitar RM 1001- RM 3000, diikuti  oleh RM 3001- RM 5000, RM 1000 dan ke bawah, RM 5000 – RM 7000. Hasil kajian mendapati rata-rata ibu bapa berada di dalam kategori pendapatan sederhana.


Persoalan kajian 1. Berapakah min keseluruhan kos  pembiayaan pendidikan yang disediakan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka?

Persoalan kajian ini dijawab melalui deskriptif iaitu dengan menggunakan min dan sisihan piawai bagi menerangkan jumlah keseluruhan pembiayaan pendidikan secara terperinci berdasarkan jantina pelajar, pendapatan keluarga dan bilangan tanggungan di dalam keluarga. Hasil analisis data menunjukkan bahawa Min jumlah keseluruhan kos pendidikan yang di peruntukan oleh ibu bapa adalah sebanyak  41.02, manakala  purata perbelanjaan seorang anak ialah sebanyak 3.73. Dari segi jantina min perbelanjaan pelajar perempuan (min= 3.24) adalah lebih tinggi daripada pelajar lelaki (min= 3.17). Berdasarkan jadual di bawah didapati min pendapatan yang tertinggi adalah ibu bapa yang memperoleh pendapatan RM 70001 dan ke atas (min = 4.33) dan diikuti dengan pendapatan di antara RM 3001- RM 7000 ( min= 3.40).

Ho1: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jumlah pembiayaan pendidikan pelajar berdasarkan pelajar lelaki dan pelajar perempuan

          Bagi menjawab hipotesis ini, analisis ujian-t sampel tidak bersandar telah digunakan. Berdasarkan analisis data pada jadual 1, ia menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan terhadap kekerapan mendapat pembiayaan oleh ibu bapa berdasarkan jantina pelajar (t = -1.420; p< 0.05 ).  Hasil ini menunjukkan terdapat perbezaan pembiayaan pendidikan di antara pelajar lelaki dan pelajar hal ini didapati pelajar perempuan  ( min= 3.57) memperoleh pembiayaan melebihi lelaki (3.16).

4.1    Perbezaan Pembiayaan Pendidikan Berdasarkan Jumlah Pembiayaan Ibu Bapa


Ho2 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara pendapatan keseluruhan ibu bapa berdasarkan jumlah pembiayaan pendidikan.

Bagi menjawab hipotesis ini, analisis ANOVA telah digunakan. Berdasarkan analisis data pada jadual 3 ia menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam pendapatan keseluruhan ibu bapa berdasarkan jumlah pembiayaan. t = 22.830, P< 0.05. ini bermakna pendapatan keseluruhan ibu bapa tidak mempengaruhi jumlah pembiayaan ibu bapa dalam pendidikan pelajar.

Ho: Tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara jumlah pembiayaan pendidikan berdasarkan motivasi pelajar.

Jadual 6 menunjukkan korelasi hubungan motivasi pelajar berdasarkan jumlah pembiayaan. bagi motivasi dari aspek cabaran (r = .0162, p > 0.05). ini menunjukkan bahawa hubungan yang sangat lemah, tetapi tidak terdapat perhubungan yang signifikan. Bagi motivasi dari sudut keseronokan nilai p = .110 dan tiada hubungan yang signifikan di antara jumlah pembiayaan pendidikan. Nilai korelasi menunjukkan nilai indeks korelasinya r = .144 dan ini menunjukkan hubungan yang sangat lemah di antara jumlah pembiayaan.

          Motivasi dari sudut luaran nilai signifikan p = .163  dan nilai ini adalah lebih besar daripada 0.05, bermakna tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara jumlah pembiayaan pendidikan. Nilai indeks korelasi bagi motivasi luaran menunjukkan r= -.126 dan ini tergolong dalam kategori hubungan negatif yang sangat lemah di antara pemboleh ubah kerana korelasinya adalah rendah. Motivasi ganjaran juga tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara motivasi ganjaran dan jumlah pembiayaan (p> 0.05). nilai indeks korelasinya r = .140 iaitu hubungan yang sangat lemah.


H0: Tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara motivasi untuk belajar berdasarkan pencapaian pelajar di UKM

          Jadual 7, menunjukkan korelasi hubungan motivasi dengan pencapaian akademik pelajar. Bagi pencapaian akademik nilai p =.308  dan tiada hubungan yang signifikan di antara motivasi dan pencapaian.  Nilai korelasi menunjukkan nilai indeks r= .092, ini menunjukkan bahawa hubungan yang sangat lemah.

5.0    Perbincangan Dan Kesimpulan


Kajian ini telah membincangkan tentang satu kajian kuantitatif yang menggunakan kaedah soal selidik. Hasil kajian didapati terdapat perbezaan yang signifikan di antara jumlah pembiayaan pendidikan berdasarkan jantina. Perbezaan juga wujud di antara  jumlah pembiayaan berdasarkan pendapatan ibu bapa. Kajian ini juga menunjukkan tidak terdapat perhubungan di antara pembiayaan pendidikan dengan motivasi dan perhubungan di antara motivasi dengan pencapaian bagi pelajar fakulti pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pembiayaan pendidikan ini boleh diterapkan kepada ibu bapa bagi menangani masalah kewangan pelajar di universiti. Dapatan kajian ini adalah selaras dengan kajian Davis (1998) yang mendapati pembiayaan pendidikan anak perempuan adalah lebih tinggi daripada anak lelaki disebabkan anak perempuan mempunyai tahap motivasi yang lebih tinggi untuk meningkatkan pendidikan mereka.
          Hasil dapatan melalui hubungan pencapaian dan motivasi adalah bertentangan dengan kajian yang sedia ada berikutan hasil kajian ini ialah motivasi tidak mempengaruhi pencapaian, hal ini tidak seperti kajian yang dilakukan oleh Norlela (2003) yang mendapati penglibatan ibu bapa dalam pembiayaan pendidikan mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Ini bermakna pencapaian akademik akan meningkat sekiranya ibu bapa memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk membiayai kos pendidikan anak-anak. Hasil kajian ini juga bertentangan dengan hasil kajian Parcel & Duffur (2001) yang mendapati pencapaian akademik pelajar bergantung sokongan dan motivasi dari ibu bapa masing-masing, hal ini kerana dapatan adalah menunjukkan motivasi tidak mempengaruhi pencarian.





LAMPIRAN


JADUAL 1: Taburan Jumlah Pembiayaan Oleh Ibu Bapa

Pendapatan
Frekuensi
peratusan
Tidak mendapat pembiayaan
17
13.7
Kurang daripada RM 100
16
12.9
RM 101 – RM 200
59
47.6
RM 201 – RM 300
10
8.1
RM 310 – RM 400
10
8.1
RM 401 – RM 500
3
2.4
RM 500 dan ke atas
9
7.3
Jumlah
124
100


JADUAL 2: Taburan Pendapatan Keluarga

Pendapatan
Frekuensi
Peratusan(%)
RM 70001 dan ke atas
3
2.4
RM 5001- RM 7000
21
16.9
RM 3001- RM 5000
30
24.2
RM 1001- RM 3000
40
32.3
RM 1000 dan ke bawah
29
23.4
Tiada
1
.8
Jumlah
124
100

JADUAL 3: Min Jumlah Pembiayaan Pendidikan Pelajar


Latar belakang

N
                   Ʃ kos
Min

Sp
Jantina
Lelaki
Perempuan


55
69

3.24
3.17

1.387
1.697
Pendapatan
RM 70001 dan ke atas
RM 5001- RM 7000
RM 3001- RM 5000
RM 10001- RM 3000
RM 1000 DAN ke bawah
Tiada


3
21
30
40
29
1

4.33
2.81
3.40
3.13
3.28
3.00

2.517
1.436
1.694
1.667
1.279
-
Bilangan Anak dalam Tanggungan
1-3 orang
4-6 orang
7 orang ke atas


77
45
2

3.32
3.04
2.00

1.650
1.397
1.414
Jumlah Keseluruhan


41.02
16.138
Skor Min Keseluruhan
124
3.73
1.614

JADUAL 4: Ujian-t Menunjukkan Perbezaan Pembiayaan Pendidikan Berdasarkan
Jantina

Jantina
n
Min
SP
t
Sig. (P)
Lelaki
55
3.16
1.475
-1.420
.049
perempuan
69
3.57
1.631


*signifikan pada aras p< 0.05

JADUAL 5: ujian ANOVA Menunjukkan Perbezaan Jumlah Pembiayaan Pendidikan berdasarkan Jumlah Pendapatan Ibu Bapa

Sumber
jdk
dk
Mkd
F
Sig.p
Antara kumpulan
8.687
5
1.737
.704
.622
Dalam kumpulan
291.273
118
2.468


Jumlah
299.960
123



* signifikan pada aras p< 0.05
JADUAL 6: Korelasi Antara Empat Motivasi Dengan Jumlah Pembiayaan Pendidikan

Motivasi
Jumlah pembiayaan pendidikan

r
Sig.p
Cabaran
.0162
0.72
Keseronokan
.144
.110
Luaran
-.126
.163
ganjaran
.140
.120

JADUAL 7: Korelasi Antara Pencapaian Akademik Dengan Motivasi

item
motivasi

r
Sig.p
Pencapaian
.092
.308




RUJUKAN

Abdul Rahim Bin Hamdan Mohamad Najib Ghaffar, Jamaluddin Ramli & Ahmad Johari Sihes. 2008. Taksonomi gaya pembelajaran dan motivasi pelajar dewasa. Tesis, fakulti pendidikan Universiti Teknologi Malaysia.
Abdul Rahim Hamdan, Mohamad Najib Ghaffar, Jamaluddin Ramli & Ahmad Johari Sihes. 2007. Taksonomi Gaya Pembelajaran Dan Tingkat Motivasi Pelajar  Dewasa (PKPGB) Di Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia.  Jurnal Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia 12: 1-14
Abd. Sukor Shaari, Yahya Don & Yaakob Daud. t.th. Motivasi belajar dan harga diri:
hubungan dengan pencapian akademik dan kegiatan kokurikulum pelajar sekolah menegah. Tesis, Fakulti Sains Kognitif dan Pendidikan. Universiti Utara Malaysia.
Amabile T. M , Hill K. G, Hennessey B.A, & Elizabeth M. Tigh. 1994. The Work Preference
Inventory: Assessing Intrinsic and Extrinsic Motivational Orientations. Journal of Personality and Social Psychology. 66 (5): 950-96.
Anon. 2002. Motivation and education. Studyunit Pty Ltd. www.studyunit.com
Anon. 2008. motivasi (definisi). Atas talian dhimaskasep.files.wordpress.com/2008/03/06-
.pdf. 4 mac 2011. 3.35 pm. ( power point)
Davis J. S. 1977. Paying For Callage Cost: Post The Student’s Sex Make A Defference. Dalam stringer W.L Cumingham A.F.O’brien. C.T.& Merisotif. J.P. 1998. It’s all relative: the role of parent in collega financing and enrollment. Usa group fundation new agenda series 1(1) oktober; 1-35.
Ghazali Yusri,  Nik Mohd Rahimi & Parilah M. Shah. 2010.. Kebimbangan Ujian Dan
Motivasi Dalam Kalangan Pelajar Kursus Bahasa Arab Dalam Konteks Kemahiran Lisan. Asean journal of teaching & learning in higher education. 2 (2): 50-63.
Gilson Todd A, Graig M Chow, & Martha E Ewing. 2008. Using Goal Orientations To
Understand Motivation In Strength Training. Journal of Strength and Conditioning Research  22 (4): 11-69.
Hater. S. 1982. The Perceived Competence Scale For Children. Child development, 53 (1):
87-97.
Liu J.T, Choub S.Y & Liu J.L .2006. Asymmetries in progression in higher education in
Taiwan: Parental education and income effects. Economics of Education Review 25: 647–658
Johnstone, D. Bruce 2004. The economics and politics of cost sharing in higher
education: comparative perspectives. State University of New York at Buffalo, Buffalo, USA
Noelela A. Wahid. 2003. Sikap dan Penglibatan Ibu Bapa dalam Pembiayaan Pendidikan. Projek penyelidikan sarjana. Universiti Kebangsaan Malaysia.
N. Malik2010. A Study On Motivational Factors Of The Faculty Members At University Of
Balochistan. Serbian Journal of Management 5 (1): 143 – 149.
Parcel, l. T., & dufur, j. M. 2001. Capital at home and at school: effect on student achievement. Social forces. 73(3): 881-912.
The university of worth carolma press. (Alats talian). http://www.ebchohost.com. (3 mei 2011).
Siti Nor Azlina Mat Hassan 2006. pembiayaan pendidikan dan hubungan dengan pencapaian akademik di kalangan pelajar di dua buah Sekolah Menegah di Kota Bharu Kelantan. Tesis sarjana tidak diterbitkan oleh UKM.
Saemah Rahman & John Arul Phillips. 2006. Hubungan antara Kesedaran Metakognisi, Motivasi dan Pencapaian. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Jurnal pendidikan 31(2006): 21-39
Shih C.C & Gamon. J .2001. Web-based learning: relationships among student motivation, attitude, learning styles, and achievent. Lowa state university. Journal Of Agricultural Education.


No comments:

Post a Comment